Jangan Tangisi Lelah

Aku pulang,
Bersama keringat otak,
Teringat aku kembali,
Pernah aku terfikir mahu toleh ke belakang,
Mahu menyepi, mahu menyendiri,
Pernah juga aku terfikir,
Mahu terus pulang, tanpa perlu melangkah lagi,
Lalu aku mengeluh lagi,
Kuatkah aku,
Menghabiskan yang berbaki.

Aku seka air mata yang benar jarang menitis,
Mengumpul himmah yang masih aku harapkan ia untuk ada,
Bersama aku, menemani aku,
Walau terpaksa aku tempuhi lagi,
Liku-liku yang tersisa.

Aku tahu, siapa aku,
Hendak menangis akan takdir yang telah tersurat,
Atau hendak persoalkan mengapa aku,
Atau hendak menidakkan akan hikmah yang telah ditakdirkan,
Aku mengerti itu.

Aku bermuhasabah,
Akan cara aku mengurus si dia yang bernama emosi,
Atau si dia yang bernama masa,
Atau si dia yang bernama ujian,
Dan si dia lain yang sungguh aku gagal lewati.

Aku pandang ke hadapan lagi,
Maka tiada pun yang mengerti apa yang aku alami,
Tiada yang faham akan rentak yang sedang aku tari,
Tiada yang bisa mengubah rintihan hati,
Melainkan Dia, Sang Pengurus segala urusan,
Dan aku,
Yang sentiasa mengeluh dalam kesah.

Seeloknya aku,
Menyusun semula jalan cerita hidupku,
Tentang jatuh dan naiknya aku,
Tentang kerdil, dan betapa banyak sudah silap aku,
Yang aku cipta sendiri,
Namun kadang membinasakan diri,
Mampuku hanya beristighfar, melihat kesilapan diri,
Mampuku juga untuk menyusun hikmah,
Dalam menempuhi ujian yang aku habiskan sudah,
Mampuku juga untuk mengajar diri,
Mengutip ibrah, kata hati : jangan ulangi lagi.

Mengapa.
Aku tidak bersabar semampu aku,
Sedang ganjaran buat penyabar itu tiada batasnya,
Mengapa.
Aku gagal lagi menyusun rentak,
Sedang aku tahu akan melodi di penghujung cerita,
Mengapa.
Tidak mampu aku melangkah,
Tanpa aku yakin bahawa aku bisa melakukan segala.

Mengapa.

Dan di penghujung cerita,
Aku insafi,
Bahawa aku gagal mengurus sekeping hati,
Tentang iman dan taqwa,
Yang masih tidak aku takluk semampu aku,
Sedang aku tahu,
Dari itu sahaja,
Aku akan bertemu,
Kuatku.

Comments

Popular posts from this blog

Blessed, Alhamdulillah

Innallaha 'ala Kulli Syaiin Qadir,,

Taraddud Lagi