Fahuwa Hasbuh !

Bismillah.

Kira-kira 5 tahun yang lepas, hinggalah sekarang kami sekeluarga diuji dengan ujian yang sangat hebat. Makin terasa apabila ujian itu masih berlanjutan sehingga sekarang. Mungkin masih tinggal lagi perkara yang hendak diajar Tuhan, atau masih ada dosa-dosa yang hendak dipadamkan, masih ada ganjaran atas kesabaran yang Dia mahu kurniakan.

Dan semenjak daripada itulah, aku belajar banyak perkara daripada individu yang sangat rapat dengan diri, EMAK. Sejak saat itu, emak berubah dengan drastik dan semestinya banyak perkara yang terjadi ; yang kurang baik menjadi alat kesabaran terbaik dan yang baik menjadi hikmah yang tidak terganti.

Kakakku yang kedua, tiba-tiba berubah daripada seorang yang baik, yang normal, yang penyayang, menjadi seorang yang sungguh ajaib perwatakannya. Dia sakit, dengan penyakit yang tidak diketahui puncanya. tidak diketahui penawarnya, tidak diketahui bilakah dia akan sembuh. Bukan penyakit medikal yang boleh dirawat di hospital tapi penyakit misteri yang mengakibatkan seluruh manusia yang berada disekelilingnya terganggu.

Image result for life test islam

Walaupun aku sudah 5 tahun di sini, tiada sebarang perubahan langsung yang ditunjukkan, dan semestinya tidak semua perkara yang aku tahu tentang perkembangannya. Sudah berpuluh-puluh ustaz yang emak dan ayah singgah, tapi masih tidak menunjukkan perubahan. Sungguh bimbang, bagaimana perasaan emak yang sentiasa memikirkan tentang situasi dia dan juga kami.

Sungguh, tidak terbayang, kalau aku di tempat emak. Entah dari mana kekuatan yang emak dapatkan. Untuk mendidik semula kakak, untuk rawat dengan bermacam perubatan, untuk bersabar, dan segalanya. Emak bukan orang yang mengaji agama tinggi, tapi imannya cukup aku kagumi. Daripada emak, aku belajar, kita tidak perlukan bergunung ilmu untuk dekatkan diri kepada Allah. Cukup keimanan, tauhid yang tinggi kepada-Nya, percaya bahawa Dia lah yang menjadikan segalanya terjadi. Ya, cukuplah hati yang meyakini segalanya.

Sungguh, bila berjauhan dengan emak, terlampau risau, takut emak stress, takut emak berfikir terlalu banyak, takut emak migraine dan segalanya. Tapi bila tanyakan dia ;

"Mak redha dah dengan apa yang jadi, Dah. Kalau emak tak boleh buat semua ni Allah takkan bagi mak duduk situasi ni"

"Orang lain dahsyat lagi ujian daripada kita Dah.. kan kita kena tengok situasi orang lain bila dalam ujian"

Terasa menyirap kata-katanya menusuk hati. Sudah 5 tahun emak bersabar dan Allah masih tidak mengangkat bebanan itu daripadanya, dan tak pernah nampak mak mengeluh dengan apa yang terjadi. Walaupun anaknya yang lain yang banyak memberontak dengan si kakak yang sakit. Siapa tahu mungkin kerana ujian ini yang menghantar dirinya ke syurga.

Related image

Setiap setahun pulang ke Malaysia bercuti, setiap tahun juga aku sangat kagum melihat pengorbanan mak yang tak terhitung untuk seorang anaknya. Mak tak pernah putus asa, mak tak pernah menyesal dengan apa yang jadi.

Benarlah anak-anak itu adalah ujian dalam kehidupan. Bila tengok orang lain yang sangat bahagia dengan zuriat masing-masing, terasa apa perasaan mak melihat anaknya. Seorang demi seorang meninggalkan ibu dan ayah masing-masing untuk memulakan kehidupan baru. Ada yang belajar, bekerja, membina keluarga. Perasaan sedih ibu dan ayah itu biasa, dan pasti terubat melihat kejayaan anak-anak. Tapi memikirkan situasi emak, aku jadi serba salah meninggalkannya dalam keadaan bebanannya yang masih berat di bahu.

Sungguh, aku berusaha keras untuk berjaya dalam setiap perkara yang aku hadapi. Dalam pembelajaran, dalam Quran, dalam ilmu-ilmu lain dengan harapan untuk menggembirakan mak dan ayah. Tetapi tetaplah sangat berat memikirkan apa yang emak tanggung. Tambah bila seorang demi seorang anaknya pergi meninggalkannya, beerti berkuranglah anak-anak yang boleh bantu ringankan beban, atau untuk dia melepaskan rasa perit di hati.

Masih punya 2 tahun untuk menghabiskan pelajaran. Terasa sedih dan perit bila memikirkan keadaan emak berseorangan di rumah, hilang sudah anak-anak yang menjadi peneman untuk bercerita, peneman ketika gundah gelana, dan makin sedih bila teringat tidak banyak tahun dihabiskan di rumah. Sejujurnya, merasa sungguh bersalah bila memikirkan kepentingan sendiri, tamatkan belajar dengan cemerlang, mulakan kehidupan baru dll. Padahal, merekalah yang paling banyak berkorban untuk memastikan masih kekal di kedudukan sekarang.

InsyaAllah, hanya 2 tahun berbaki dan akan kembali berbakti kepada mak dan ayah. Maaf, kerana mengambil masa yang terlalu lama untuk membina diri ini.

Dan esok adalah ulangtahun kelahiran emak yang ke 55. Salah satu bukti pengorbanan yang besar ; emak terpaksa berhenti awal bekerja untuk jaga kakak di rumah.

Terima kasih emak, kerana menjadi contoh terbaik dalam kehidupan. Moga Allah menganjari emak dengan balasan pahala yang melimpah ruah, yang tiada batasannya. Anak-anak emak sentiasa menjadi saksi tentang betapa hebat pengorbanan kasih sayang emak terhadap anak-anak dan betapa yakinnya emak dengan janji Allah :')

Image result for mother quotes

Comments

Popular posts from this blog

Blessed, Alhamdulillah

Innallaha 'ala Kulli Syaiin Qadir,,

Taraddud Lagi