2016, Menginsafi Hakikat Bertuhan

Bismillah.

Antara perkara yang mendukacitakan lewat mengharungi tahun 2016 adalah melihat entri yang tidak bergerak-gerak. Tidak ada pengalaman atau perkongsian yang dicatat sungguhpun 2016 adalah tahun yang sungguh bermakna, sungguh sesak dipenuhi cerita-cerita yang berbeza berbanding tahun kebelakang. Lebih sedih lagi ia hanya disimpan dalam memori otak, tidak dicatat hatta di lembaran mukasurat dan kepingan kertas. Ah, bagaimana kita mampu merakam segala memori indah itu !

Terima kasih Allah, atas segala nikmat yang tiada penghujungnya. Aku insaf atas segala janji yang saban hari makin tersurat. Ujian yang selama ini aku rungutkan, makin Engkau selak hikmahnya. Aku malu tentang sangkaan-sangkaan aku terhadap setiap aturan-Mu. Ia memang terbaik, tidak ada satu pun yang aku hendakkan rupanya adalah baik untuk aku !

Lembaran 2016, hari yang sarat bermakna itu bermula dengan jemputan daripada-Mu ke tanah suci. Menziarahi dua tanah suci itu tidak ada tolok bandingannya dengan mana-mana kunjungan aku ke tempat lain. Ia sangat istimewa dan akan terus kekal teristimewa. Ia rehlah membasuh jiwa yang sarat dengan kotoran dosa. Sungguh ia sebuah perjalanan mencari keimanan, walaupun secara teorinya tidak akan kita temukan tempat istimewa di pandangan mata, tetapi rohnya sangat kuat membina jiwa. Dua tanah suci yang selalu di dalam doa.. agar kita dipertemukan lagi.

Image may contain: 3 people, indoor

Dan segala peluang terindah yang Engkau hadiahkan selama aku di sana, akan selalu dalam ingatan, akan selalu dirindukan, akan selalu aku syukurkan. Setiap detik, terlampau bermakna. Terima kasih Tuhan, Engkau pertemukan tempat yang tidak ada yang lebih indah daripadanya di dalam dunia ini, Engkau memberi masa untuk aku menadah tangan meminta kepada-Mu di saat semuanya terasa sempit. Sungguh, Engkau memberitahu, tiada sebaik-baik pemberi pertolongan selain daripada-Mu. Tiada tempat yang lebih baik untuk aku bergantung harap selain daripada-Mu.

Tiada kata-kata yang boleh diungkapkan, tentang rasa rindu, dan rasa ingin kembali ke sana, lebih-lebih lagi ketika detik-detik semangat yang melemahkan badan dan jiwa.

Sekembali aku daripada umrah dan mengharungi peperiksaan terakhir tahun teori perubatan, Engkau memberi lagi nikmat. Akhirnya khatam sanad ghaibi bersama Ummu Nidhal setelah 7 bulan bersusah payah menghabiskan 30 juzu'. Dan sungguh, ia tidak sama seperti sebelumnya. Terima kasih Allah, kerana mempertemukan aku dengan manusia yang membawa aku semakin dekat dengan al-Quran. Aku kira tempoh itu adalah sekejap, ditambah lagi bebanan akademik dan tugas dan tanggungjawab yang hendak disudahkan. Sungguh, pada aku, ia adalah antara nikmat terbesar yang Engkau kurniakan, walaupun aku tidak bersungguh bersama Quran - perkara yang cukup aku kesalkan. Ingatan aku masih agak kukuh, jika dibandingkan dengan usaha aku yang tidak seberapa. Tidak langsung merasa gah, kerana ia sebuah ujian dan mungkin akan ditarik Tuhan atas sikap aku yang tidak bersungguh bersama Quran, atau sikap yang kufur nikmat terhadap pemberiannya yang sungguh besar ini. Ya Allah, bantu aku untuk sentiasa istiqamah bersama al-Quran.

No automatic alt text available.

Aku bersyukur dapat pulang ke kampung halaman, dan apa yang lebih aku syukurkan adalah Engkau permudahkan urusan aku untuk lulus dalam semua kertas peperiksaan. Walaupun mungkin akulah antara orang yang paling hampir dengan ujian 'make-up'. Aku berpeluang beraya bersama keluarga tercinta setelah 4 tahun di perantauan. Terima kasih ya Allah, atas pemberian demi pemberian yang kenal penghujungnya.

Pulang ke Jordan, setelahnya aku dikejutkan dengan pelbagai situasi baru. Aku termakan dengan tabiat dan perangai selama 4 tahun berkepit dengan warga Melayu walaupun belajar di tanah Arab. Antara saat-saat kegelapan dalam hidup, sehingga aku terfikir untuk hentikan langkah atau sambung dan pulang sahaja ke Malaysia. Hari-hari yang terlampau memeritkan, bersulam air mata yang tiada henti. Rebah dan hilang kekuatan, hampir lupa penyuntik semangat yang telah Engkau hadiahkan sebelum daripada saat ini, mungkin sebagai persediaan untuk mengharungi perjalanan yang sungguh mencabar. Tetapi berbekalkan kepercayaan kepada-Mu, setiap yang susah itu pasti ada kemudahan, sepertimana yang telah aku saksikan sebelum ini, langkah digagahkan dan akhirnya 3 bulan yang cukup menyeksakan aku akhirkan !


Image may contain: 17 people, people smiling, people standing

Setelah satu semester yang terasa begitu panjang dan menyakitkan, aku diberi peluang untuk melihat negara orang yang begitu berbeza budaya, adat dan paling penting agama. Pengajaran yang tidak dapat dihitung daripada sudut pandang yang cukup berbeza. Daripada indahnya alam ciptaan Tuhan dan perangai masyarakat yang aku pelajari daripada persekitaran. Menjadi seorang Muslim sungguh, adalah nikmat yang terbesar dalam kehidupan. Ia satu cara hidup yang penuh disiplin dan mengajar bahawa hidup ini bukan sekadar hidup, tetapi hidup yang punya pengakhiran dan matlamat. Ia mengajar mengapa kita berbeza dengan semua manusia yang lain, jika kita memandang dari satu sudut yang berbeza.

Image may contain: mountain, sky, outdoor and nature


Terlampau banyak yang mahu aku ceritakan, dalam satu entri yang cukup pendek dan ditulis dalam masa yang singkat. Aku juga kelu ketika orang bertanya, bingung mencari jawapan yang padat dan tepat.

Penutup tahun 2016 ini, adalah hampir berakhirnya semester kedua - Internal Medicine, yang aku kira satu hadiah daripada Tuhan, yang cukup berlainan dengan semester sebelumnya. Dia mengirim sahabat Arab yang cukup berbeza berbanding sebelumnya, yang menjadi antara sebab mengapa keadaan tidak serupa seperti sebelumnya. Dia mengerti setiap situasi dan Dia sentiasa memberi yang paling terbaik, yang lebih daripada perhitungan kita. Walaupun situasi tidaklah semakin selesa, tetapi adaptasi adalah apa yang menguatkan kita. Terima kasih ya Allah, kerana selalu ada di setiap keadaan, dan mengirim bantuan, sehingga kita percaya kita tidak pernah berseorangan.

No automatic alt text available.


Sehingga saat sekarang, aku makin yakin kenapa Allah sentiasa menahan langkah aku, untuk tidak mengalah sehingga tiba di garisan penamat. Allah mengajar aku, kenapa aku tidak berada bersama yang lain, aku masih di sini, tidak berhenti dan memilih bidang yang aku minati dahulu. Dia makin menarik rasa kesal yang bersulam dalam jiwa setelah sekian lamanya. Dan aku juga mengerti, mengapa situasi situasi ini yang Dia siap sediakan untuk aku lalui, sedangkan aku masih punya lorong lorong lain yang boleh aku lalui untuk sampai ke destinasi yang sama. Ya aku akur, sebenarnya destinasi itu bukan penentunya, tetapi perjalanan yang perlu dihadapi.

Terima kasih ya Allah, terima kasih...

Tahun 2017, aku berharap kepada diri, untuk sentiasa memperbaiki diri, ke arah kebaikan, dan berusaha sentiasa untuk menjadi manusia yang lebih baik daripada sebelumnya. Paling penting, untuk sentiasa mengingati, bahawa Dia sentiasa ada menemani, dalam setiap langkah, dalam setiap gelak dan tawa, mahupun dalam setiap tangisan dan keluh kesah.

اللهم أعنا على ذكرك، وشكرك، وحسن عبادتك


Comments

Popular posts from this blog

Blessed, Alhamdulillah

Innallaha 'ala Kulli Syaiin Qadir,,

Taraddud Lagi