Serpihan Kata Yang Tak Terungkapkan

Hari semalam terasa lebih hangat daripada hari ini. Entah bila cuaca di tanah Syam ini akan mendatar seperti biasa. Kadang renyai hujan turun akan mendinginkan semula hari yang telah panas, kadang terik matahari mengalahkan kesejukan yang hadir.

Suara pakcik coaster memanggil pelajar yang pulang daripada jamiah adalah sesuatu yang mesti apabila melangkah keluar daripada pintu raisi Jamiah Urduniyah. Tempat yang banyak menghadiahkan bekas-bekas kehidupan yang tidak ternilai harganya, tempat yang banyak berbakti kepada diri dan memberi makna yang sungguh mahal nilainya. Kepada Allah segala pujian terhadap nikmat.

Malam itu terasa seperti mengisikan hati yang kosong. Hati yang kosong kerana seakan-akan dipatah-patahkan oleh rasa yang tidak sepatutnya singgah mengacau jiwa. Demikianlah manusia walaupun akal fikiran hebat membandingkan perkara yang wajar dilakukan atau sepatutnya ditinggalkan, ia tetap kalah dengan seketul daging yang bernama hati.



Kadang-kadang mungkin ego yang membekas di akal fikiran tidak memahami akan lemahnya hati. Ia sibuk memberitahu keinginannya sedang hati memberontak memberitahu apa yang dikehendakinya. Entah, kadang buntu mencari jalan perdamaian antara keduanya. Tapi mungkin sebenarnya hati jualah yang mendominasi. Walaupun kita kurang mengerti bagaimana secara fisiologi mengapa utusan terakhir Allah itu menyebut pabila baiknya seketul daging itu, maka baiklah seluruh anggotanya. 

Langkah makin diaturkan, terasa benar rasa yang tidak diendahkan semalam itu makin sesak memenuhi jiwa. Rasa yang kerana egoisnya akal kita menafikan kewujudan ia. Rupanya ada betulnya untuk kita mengalah kadang-kadang pada lembutnya hati itu. Maka hari ini biarlah kita membiarkan hati itu berbuat apa yang ia mahu. Sekalipun ia mengarahkan sistem limbik pada otak untuk merembeskan butir-butir jernih daripada kelenjar lakrimal. Maka akal mula berkata dan bersoal. Alangkah ajaibnya pengakhiran yang begini, setelah sekian lama hati itu penat mengandaikan cerita-cerita.

Benar kita mempunyai banyak cita-cita yang dikemudi akal. Menginginkan kejayaan pada setiap perkara, pada setiap apa yang kita lakukan kita mengerti ia patut dikerjakan sehabis baik. Kita bercita-cita untuk menjadi seorang yang membekas kehadirannya pada bumi Allah ini. Tetapi bohonglah kalau kita menafikan tentang wujudnya perasaan yang datangnya dari hati.

Aku bukan orang yang pandai memberitahu hasrat yang tersirat, satu perkataan yang diungkap boleh dieertikan pelbagai makna. Mungkin juga gagal menggunakan sehabis baik akal untuk mengawal hati supaya ia tetap sentiasa di atas landasan yang benar. Tapi benar, aku tidak mengerti juga sikap manusia yang penuh tanda tanya dan misteri. Entah mereka itu, punya maksud tersendiri atau sebenarnya aku yang salah dalam mentafsir segalanya.

Terima kasih sahabat, sekurangnya aku belajar untuk tunduk pada kehendak hati yang tidak diendahkan semalam. Walaupun segalanya bukan menyenangkan tetapi ada perkara yang perlu untuk aku syukuri. Sungguh aku benar belajar tentang erti masa yang menjadi petunjuk atas segalanya. Terima kasih ya Allah, kerana pada Engkau sentiasa ada jalan keluar untuk aku halakan langkah. Sentiasa ada penyelesaian pada setiap liku-liku kehidupan.

Sungguh payah membina hati yang indah, anggota kita menjadi alatnya untuk melalui jalan-jalan yang penuh duri. Kadang-kadang duri-duri itu ditutupi jalan yang mempesona, namun sesampainya kita padanya barulah kita sedar tidaklah ia seperti yang kita harapkan.


Sungguh penat melatih jiwa Hamba, ia sentiasa mengeluh dan penat dalam jalan perjuangannya. Ia sentiasa lupa pada janji Tuhan akan nikmat balasan di akhir setiap pengorbanannya. 

Pada serpihan kata yang tidak terungkapkan, moga pengajarannya menjadi bekal kehidupan mendatang. Moga pedihnya ia mendapat balasan yang besar daripada Tuhan. Moga cukup nostalgia semalam, jangan diputar lagi siaran yang sama. Jangan biar berulang, jadikan pedoman.

Sungguh aku mengharapkan pada setiap petunjuk dan pedoman-Mu wahai Allah. Terlampau lemah hamba yang tiadalah kudratnya untuk sekecil-kecil perkara. Moga aku terus kuat untuk melangsaikan cita yang berbaki, terus berhasil mengutip segala mutiara yang ada di sini.


Menghampiri juzu' pengakhiran Quran, ayat-ayat yang kurang diulang, makin sukar diingat dan dibaca di depan guru. Tapi maknanya sentiasa membawa kita makin hampir kepada Allah. Indahnya kehidupan berteman ayat-ayatNya yang sangat agung, indahnya janji-janji Allah yang termaktub dalam helaian al-Quran itu. Ya Allah jadikanlah hati ini sentiasa hidup dengan semangat daripada janji-janji-Mu, sentiasa hidup dengan cinta-Mu yang tidak akan terhampakan.

Hasbiyallah,
Hasyalillah.


Comments

Popular posts from this blog

Blessed, Alhamdulillah

Innallaha 'ala Kulli Syaiin Qadir,,

Taraddud Lagi