Ilmu Tunjang Amal

Kadang-kadang Allah mendatangkan manusia yang tidak kita sangka-sangkakan dalam hidup untuk menguji dan memberi petunjuk melalui manusia itu sendiri. Walaupun bagi kita kadang-kadang orang yang hadir dalam hidup kita banyak memberi kita masalah, tapi kehadiran mereka berbekas dan memberi pengajaran yang besar dalam hidup kita.

Benarlah setiap perkara itu ada hikmah yang besar.

Setiap satu amalan yang dikerjakan pastinya ada di sana sebab-sebab mengapa amalan tersebut dikerjakan. Daripada sekecil-kecil perbuatan sehinggalah ke sebesar-besar amalan. Mengapa kita berbuat begini, mengapa kita bertindak sedemikian, pastilah setiap satunya ada alasan mengapa kita melakukan setiap pekerjaan.

Tetapi ada juga sesetengah yang tidak sedar bahawa sesetengah daripada kita hanya bertaqlid tanpa hujah dan pembuktian. Sedangkan keperluan kepada pemahaman sebenar setiap perkara sangatlah penting dalam memastikan keyakinan dalam setiap tindakan dan satu faktor yang sangat besar mengapa kita bersungguh-sungguh dalam melakukan setiap pekerjaan tersebut.

Ada yang takut bila diajukan pelbagai soalan, tidak perlu untuk bertanya terlampau banyak perkara yang kelak akan menyusahkan dan membebankan diri sendiri untuk melakukan hal tersebut. Padahal keperluan untuk memahami sebuah perkara adalah sangat penting supaya keraguan tidak timbul dalam setiap tindakan yang kita ambil.

Dan apabila dikatakan kepada mereka Turutlah akan apa yang telah diturunkan oleh Allah mereka menjawab: (Tidak), bahkan kami (hanya) menurut apa yang kami dapati datuk nenek kami melakukannya. Patutkah (mereka menurutnya) sekalipun datuk neneknya itu tidak faham sesuatu (apa pun tentang perkara-perkara agama), dan tidak pula mendapat petunjuk hidayat (dari Allah)? [ Al-Baqarah : 170 ]

Menyelak kembali lembaran al-Quran, betapa banyak kisah-kisah para Anbiya' yang terdahulu menceritakan perihal sikap dan perangai kaum-kaum yang sangat gemar memberikan alasan yang sama ketika ditanya para Nabi yang diutuskan kepada mereka, kenapa mereka menyembah selain daripada Allah. Kelak jawapan yang sama akan muncul daripada lidah-lidah mereka.

"Kami mengikut, apa yang telah dilakukan nenek moyang kami"

Malas menggunakan akal fikiran, adalah sikap manusia-manusia daripada ummat terdahulu yang sangat merugikan diri sendiri. Kerana sikap mereka yang begini, lantas hidayah Allah itu tidak menyerap masuk ke dalam diri mereka sendiri, dan mengakibatkan kerugian yang sangat besar.

Walaupun kadang-kadang kita tidak mempersoalkan dan tidak bimbang akan tindakan taqlid kita kerana sudah didahului oleh tokoh-tokoh yang hebat, maka kata kita mustahil tokoh-tokoh ini tersilap dalam memilih jalan - bukan menjadi alasan kita untuk kita mengabaikan ilmu dan hujah dalam setiap pekerjaan.

Kita belajar memahami seseuatu perkara dengan selumatnya atas alasan untuk kita bersikap teguh terhadap pendirian dan berprinsip di atas setiap kefahaman kita. Maka kerana kefahaman yang kurang, persoalan yang tidak banyak hinggap dalam minda, sikap malas berfikir yang membarah, mengakibatkan kerugian kita dan menambahkan keraguan kita dalam setiap pekerjaan yang kita ambil. Lebih-lebih lagi apabila kita diasak dengan ujian yang pelbagai.

Berlaku adillah kepada diri sendiri dan berilah peluang untuk kita menurut dan beramal kerana ilmu yang kita cari sehinggalah ke akar umbinya.







Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

Blessed, Alhamdulillah

Innallaha 'ala Kulli Syaiin Qadir,,

Taraddud Lagi