Ceritanya Cinta

Bismillah

Sama ada,
Angin di selat yang menghubungkan laut hitam dan putih itu,
Mahupun tanah Asia yang aku jejak tika itu,
Ataupun tanah Eropah yang aku lihat tika itu,
Cukup menjadi saksi,
Buat sejarah istimewa yang telah menambat hatiku,
Memaksa aku merindui,
Tanah yang tertegaknya khilafah itu.

Kembara Uthmaniyyah

Sehari sebelum berjaulah, sempat buka laman saifulislam. Separuh artikel tentang Turki sempat dihadamkan. Buat bekal perjalanan 11 hari di bumi Turki. Banyak ustaz nukilkan tentang betapa mahalnya tamadun Turki Uthmaniyyah, yang tidak semua orang tahu tentang keagungannya satu masa dahulu. Teringat juga dulu, waktu zaman ikut daurah ISK. Tamadun yang dikatakan berupaya menakluk 2/3 dunia, suatu yang amat perlu dibanggakan dan dijadikan ibrah buat kita semua.




Mungkin, terlalu banyak cerita yang sama meresap masuk ke dalam telinga. Akan jatuhnya khilafah kerana seorang manusia yang dikenali sebagai Mustafa Kamal. Akan ditawannya kota Kostantinopel itu oleh seorang sultan yang namanya al-Fateh. Atau berbagai lagi cerita yang digambarkan betapa hebatnya tamadun itu terbina ketika itu. Tapi sejauh mana ia meresap ke dalam hati itu, gambarannya hanya diri sendiri yang tahu.

Awal perjalanan, kami semua sempat melawat Kusadasi, kota tinggalan lama tamadun Roman. Batu-batu, patung-patung, evil eye, medusa, temple, meryem dan banyak lagi. Al kisahnya tak jauh dengan Jerash atau Ummu Qays. Dan selepasnya ke Pamukkale, melawat cotton castle yang sangat indah penciptaan semulajadinya, dan juga kubur-kubur kaum Roman yang lama. Seronok juga mempelajari sejarah yang unik dan fahaman agama yang bermacam rupa. Darjat antara golongan atas dan bawahan yang seperti langit dengan bumi, fahaman yang tinggal sampai sekarang menjadi satu kepercayaan dan berbagai lagi. Ah, agak tipikal.


Rupanya, hidupnya jiwa-jiwa pembangun daulah itu di Bursa dan Istanbul. Bursa, kota lama pusat bagi kerajaan itu sewaktu awal pengasasannya oleh Uthman Gazi. Langsung kemudian, sehingga beberapa sultan akhirnya al-Fateh berjaya menawan Kostantinopel dan kemudian jadilah Istanbul ibu kota bagi Daulah Uthmaniyyah. Sehingga hari ini, kehebatan kepimpinan di waktu itu masih tergambar. Ketika digambarkan kebanyakan perihal sultan itu di masjid, sehinggakan begitu banyak masjid yang terbina di sini kerana setiap sultan memiliki masjidnya. Musyawarahnya, biliknya, perpustakaannya, maqamnya, semua menjadi saksi.

Melihat perkampungan Uthmaniyyah yang belum terusik, syahidnya Abu Ayyub al-Ansari di Sultan Eyup Camii (kini) yang digambarkan usahanya untuk menakluk Kostantinopel,  Panorama 1453, Golden Horn, Galata Tower pengikat rantai besi, Hagia Sophia yang diusahakan juga menjadi masjid, Masjid Sultanahmet yang bersahutan azannya, benteng-benteng gah Byzantine, sungguh berat kaki ini hendak meninggalkan bumi tersebut.

Tidak hairanlah, bumi ini dicintai para pensejarah yang tekun menggali ibrah yang ditinggalkan manusia ketika itu. Keindahan pemerintahannya memukau, kedaulatannya ketika itu mempesona.

Sungguh, jatuh cinta sekali dengan sejarah bumi ini. Mahu diajarkan bahasa Turki, mahu menghadam buku sejarah Uthmaniyyah yang berjilid-jilid, mahu menghirup lagi udara di situ, mahu solat lagi di masjid yang tersergam indah itu, semuanya.



Kusadasi, Pamukkale, Cappadocia, Ankara biarlahpun hanya sekali. Tapi izinkan diri ni menjejak lagi ke tanah Bursa dan Istanbul untuk belajar banyak lagi.


Pemusnahan Besar-Besaran

Adapun kemenangan pada 1453 itu sungguh beerti pada kita semua, tapi kemusnahan pada 1923 sungguh mengharu birukan tanah berkat itu. Sehinggakan tarikh kejatuhan Khilafah, 3 Mac setiap tahun masih diraikan oleh penduduk Turki sebagai hari Merdeka, tarikh Atarturk menukarkan kerajaan Turki Uthmaniyyah kepada kerajaan Republik Turki yang melenyapkan khilafah.

Tidak akan sama rasanya kalau kita sekadar membaca di dada buku tentang haramnya azan di dalam bahasa Arab, penukaran tulisan 'jawi' kepada 'rumi', diharamkan berhijab sehingga kita melihat tanah ini sendiri. Ya, kesannya begitu ketara, sehingga hari ni. 72 peratus rakyat di sini masih sekular sedangkan 99 peratus adalah Muslim. Arak, bebas di pantai, sosial, tak solat. Sungguh ketara. Bendera wajah Mustapha Kamal masih lagi gah ditayangkan sekitar bandar Turki, patung-patungnya, muzium peringatannya. Haru.



Namun lahirnya seorang pemimpin di kalangan masyarakat itu sungguh bermakna 10 tahun yang lalu. Bukan senang memenangi hati rakyat yang sekular dengan fahaman Islam, melainkan Erdogan itu membawa nilai-nilai murni tentang konsep pemerintahan yang sungguh luar biasa. 10 tahun, berbagai pengsilahan yang telah dibawakan oleh pemimpin ini. Seakan pemimpin ummat Rasulullah yang membawa perlahan-lahan membawa manusia keluar daripada jahiliyyah, seakan pemimpin ini cuba mencontohi gerak langkah baginda. Ya, rakyat Turki, walaupun pernah bertapaknya tamadun yang hebat itu di sana, namun pada mereka kurang kesedaran tersebut kerana pemusnahan besar-besaran dahulu.

Peribadi Qudwah

Sampai di sini, sangat tertawan dengan peribadi masyarakat Turki yang sangat elok budi pekertinya. Daripada pemandu teksi, pengutip sampah, pengurus hotel, dan semua orang yang kami sempat jumpa memang sangat baik, walaupun masalah paling sukar adalah bila kami tak dapat nak memahami bahasa mereka.

Dan juga tour guide kami yang teramatlah baik melayan kerenah kami walaupun tahu kami daripada negara seberang, mungkin terikut dengan budaya masyarakat Turki di sini.




Tapi orang Turki yang baik-baik ini, bukan ramai yang tinggi penghayatan agamanya. Walaupun Muslim. Ya, ada mereka yang tinggi penghayatan agama, tapi, tidak ramai. Bayangkan sahaja kebaikan mereka apabila ditambah lagi dengan pendidikan agama yang baik.

Ceritanya Cinta

Terlampau banyak, pelajaran yang Allah berikan sewaktu jaulah ini. Terima kasih ya Allah. Walaupun di setiap musibah tersebut, masih sempat belajar pengajaran daripada setiap peristiwa tersebut. Mungkin tidak mampu hendak dicoretkan, kerana pengalaman tersebut amat banyak dan tidak terkira.



Pergilah merantau dan mencari pengalaman ke negara seperti ini. Ada banyak cerita yang perlu kita pelajari. Dalam mengembara apa yang mungkin menjadi sasaran utama adalah keseronokan yang menghasilkan kepuasan. Namun cubalah tambah ke dalam acuan keseronokan itu unsur ilmu, pengajaran, ibrah yang akan lebih menambahkan kepuasan. Tidak cukup sekadar bersiar-siar melihat, tanpa mengambil iktibar, sedang duit yang dihabiskan begitu banyak bagi sesetiap jaulah.

Moga Allah sudi mengirimkan diri ini lagi ke bumi tersebut untuk menyedut lagi ibrah yang baru sekelumit didapati.

Kenangan ini mungkin sukar dilakar kembali,
Kerana uniknya kita mengukir hari,
Digagahi langkah untuk meninggalkan bumi ini,
Kerana aku yakin saatnya akan tiba nanti,
Saat aku melangkah kembali,
Dengan ilmu menimbun di dalam hati !

Jaulah Turki.
Dibosh-Kak Ya-Aten-Melly-Ila-Bella-Amal-Zati-Anis-Syidoh-Dina-Nuha-Ihsan-Faisol


Turki, aku datang lagi nanti !



Comments

Popular posts from this blog

Blessed, Alhamdulillah

Innallaha 'ala Kulli Syaiin Qadir,,

Taraddud Lagi