Kesabaranmu itu....

Wajah sayu itu ku tatap beberapa kali. Namun, di sebalik wajah sayu itu tersembunyi seribu satu pahit getir yang telah dilaluinya.
Aku mengalihkan pula pandangan kepada susuk tubuh yang kurus kering itu. Di sebalik tubuh itulah tersembunyi hati yang sudah masak dengan pelbagai jenis dugaan hidup. Hati yang terhimpun kesabaran yang memuncak jauh sekali dengan raut wajahnya.

Kenangan silam berulang,..

Kami melangkah masuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah. Hospital yang baru sahaja ditukar nama itu masih berdiri megah walaupun sudah bertahun-tahun ianya berbakti kepada masyarakat. Di situ jugalah tempat ayahku mencari rezeki halal.
Langkah kami semakin melaju apabila sampai ke tingkat 8, tempat di mana Ustaz Azuwan ditempatkan.
Akhirnya, kami sampai di hadapan katil yang di atasnya berda seorang yang lemah, tidak berdaya. Kami semua menarik nafas, bukan lega tetapi terkejut.
Ustaz Azuwan yang dahulunya berisi, kini sudah kurus kering. Dia dimasukkan ke hospital sebulan lalu setelah masalah paru-parunya semakin kritikal.

"Ustaz ingat awak semua dah tak datang. Syukurlah kamu datang menjenguk ustaz. Ustaz mintak kamu doa banyak-banyak kat ustaz. Doa para huffaz ni berkat. InsyaAllah, ustaz masih
dapat ajar awak semula nanti, tapi tidaklah sesegar dahulu. Mungkin dengan tongkat." ujarnya sambil menghadiahkan sekuntum senyuman yang tidak berperisa.

Di sisinya, seorang wanita sedang mengusap-usap belakangnya. Ustaz terbatuk-batuk meludahkan kahak ke dalam bekas yang dihulurkan wanita tadi. Ya, wanita itulah wanita yang sangat aku kagumi. Wanita yang masih dapat menghulurkan senyuman pahit di saat hati sudah punah dengan duka. Ustazah Izyan Nadiah, ,mantan guru tasmi'ku. Dia baru selesai bersalin seminggu yang lalu. Namun dengan segala kepayahan dia masih bersama suaminya saat dia diperlukan. Kesakitannya ditolak ke tepi.

Aku mengimbau kembali kata-kata Ustaz Azuwan 2 hari yang lepas sebelum dia dimasukkan ke hospital.

"Ustaz memerlukan doa kamu semua untuk kesejahteraan anak ustaz. Takdir Allah menentukan dia lahir 2 bulan lebih awal daripada yang sepatutnya. Sekarang dia ditempatkan di wad khas. Dan jika dia selamat, ustaz akan berikan nama Abdullah al-Fawwaz. Hamba Allah yang berjaya. Semoga dia berjaya dalam kehidupannya"

Tanpa sebarang khabar, kami diberitahu Ustaz Azuwan dimasukkan ke hospital 2 hari kemudian. Terkejutnya kami tiadalah terhingga.

Aku hanya teringatkan satu.
Jerit petir dugaan ustazah di kala itu. Allah begitu sayangkan dia kerana ingin menganugerahkan iman setinggi Gunung Uhud dengan ujian yang bertimpa-timpa.
Kesakitan selepas bersalin.
Keadaan Ustaz Azuwan yang sudah kritikal.
Keadaan Abdullah al-Fawwaz yang nyawanya 50/50.

Subhanallah!!

Kami melangkah keluar daripada pintu hospital itu dengan perasaan berbelah bahagi. Terasa seakan tertinggal sesuatu walaupun tiada sesuatu dibawa masuk ketika itu.
Suasana yang tadinya bising bertukar sepi. Tiada seseorang yang mampu mengeluarkan bicara. Lidah kelu, diam membisu.
Adakah keadaan ini memberi tafsiran kepada sesuatu? Wallahua'lam.

Seminggu kemudian.

Kami dikhabarkan bahawa Ustaz Azuwan telah dibawa ke Hospital Kubang Kerian, Kelantan kerana keadaannya yang makin kritikal. Bimbang tiada terkira. Jiwa gundah gelana. Hari esok pula adalah cuti penggal. Beerti selepas ini tiada lagi utusan-utusan berkaitan Ustaz Azuwan sewaktu di rumah nanti.
ya Rabbi betapa risau jiwa kami semua di kala itu.

3 hari kemudian.

"Al-Fatihah buat Arwah Ustaz Azuwan yang telah kembali ke rahmatullah pagi tadi. Semoga rohnya ditempatkan bersama para Solihhin. Amin,.-PIHAK YAYASAN TERENGGANU, IMTIAZ-"

Terasa gelap dunia sebentar membaca mesej itu. Sukar digambarkan dengan kata-kata. Tetapi itulah Sunnatullah, setiap yang hidup pasti akan mati,

'Kullu man 'alaiha fan. Wa yabqa wajhu rabbika zuljalali wal ikram."
Al-Quran,Ar-Rahman.

Aku menarik nafas usai mengaminkan al-Fatihah buat arwah. Walaupun tidak sempat untuk menjenguk atau mengucapkan takziah kepada keluarganya.

Kembali ke alam nyata.

Ustazah kelihatan ceria berbual-bual bersama-sama kami. Seakan tiada apa yang terjadi sebelum ini.

"Ustazah, mana Fawwaz?"

"Oh, nak tengok Fawwaz ya, sekejap ya"

Berderai hatiku selepas ustazah mengangkat Fawwaz daripada tempat duduknya. Ya, Fawwaz masih lagi hidup, namun tidak seperti bayi normal. Kepalanya membesar. Aku kira lebih besar daripada kepalaku walaupun usianya baru mencapai 7 bulan. Urat-urat biru membaluti kepalanya. Dia tidak dapat menampung kepala dengan lehernya sahaja. Maka terlentoklah kepalanya ke atas bahu ustazah. Matanya yang membulat melihat kami tanpa melakukan sebarang reaksi walaupun dipanggil beberapa kali. Wajahnya tidak tumpah seperti arwah Ustaz.

Ya Allah! Hebatnya kuasaMu. Aku menahan air mata daripada terus menyembah bumi. Takut nanti ustazah yang hebat itu terasa. Namun, ada yang tidak dapat menahan lagi. Airmata deras mengalir seperti Air Terjun Sekayu.

"Kenapa awak nangis, janganlah nangis, ustazah mari nak tengok awak semua ni"

Wanita itu cuba mengukir senyuman palsu. Aku tatap wajahnya. Kesedihan memang tidak dapat disembunyikan lagi. Ada takungan air di matanya. Ah, akhirnya, buat pertama kali aku melihat wanita tabah itu menitiskan airmatanya. Tetapi terus diseka, dan selepas itu tidak kelihatan lagi.

Iqamat kedengaran.

Aku terus menuju ke surau al-Muttaqun untuk menunaikan solat Asar berjemaah. Tidak mahu meninggalkan fadhilat takbiratul ihram bersama imam.

"Allahuakbar"

  1. Dimulai dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang.
  2. Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam.
  3. Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang.
  4. Yang Menguasai hari Pembalasan (hari akhirat).
  5. Hanya kepada Engkau (Ya Allah) kami beribadah dan hanya kepada Engkau kami memohon pertolongan.
  6. Bimbinglah kami ke jalan yang lurus.
  7. Iaitu jalan orang yang Engkau telah anugerahkan nikmat kepada mereka, bukan jalan orang yang dimurkai, dan bukan pula jalan orang yang sesat.

Deras air mataku mengalir. Ya Allah, sesungguhnya rahmatMu begitu besar. Maka bimbinglah daku ke jalan yang diredhaiMu. Ujilah aku sesuai dengan keimananku ya Allah. Jadikanlah aku sekuat dan setabah Sumayyah dalam memperjuangkan agamaMu ya Allah.

Al-Fatihah buat arwah Ustaz Azuwan.
Doa keselamatan buat Fawwaz.
Dan,
Moga kesabaran Ustazah Izyan akan dibalas setimpal sewaktu dia akhirat sana. Innallaha la yukhliful mi'aad.

Wallahu a'lam bithwaab

Comments

Popular posts from this blog

Blessed, Alhamdulillah

Innallaha 'ala Kulli Syaiin Qadir,,

Taraddud Lagi